Sejarah Penubuhan MRSM Gerik

MRSM Gerik telah sempurna binaannya pada tahun 1991. Ianya terletak di bukit Nassah, Kampung Kenayat, dengan keluasan 75 ekar. Jaraknya dari pekan Gerik adalah lebih kurang 13km.

Pemandangan sekitar MRSM Gerik sungguh indah kerana ia dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau, persekitaran yang bersih, udara yang nyaman dan segar serta jauh dari kesibukan bandar. Lokasi ini dapat mengalakkan pembelajaran pelajar. 

Pengambilan guru dan kakitangan MRSM Gerik bermula pada 1 Disember 1993. Peringkat awal pengambilan pelajar ialah pada akhir Januari 1994 di mana MRSM Gerik telah mengambil pelajar dari tingkatan 2 seramai 94 orang manakala pada Februari 1994 pelajar tingkatan 1 seramai 144 orang.

Pada peringkat awal penubuhan, tidak ada banyak prasarana yang disediakan tetapi kini, setelah siapnya pembinaan fasa 2, MRSM Gerik telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan bagi memenuhi kehendak dan keperluan pendidikan. Pembinaan fasa 2 melibatkan penambahan pejabat, dewan besar, bengkel kemahiran hidup, asrama, rumah pengetua dan penolong pengetua, rumah guru dan rumah kakitangan.